Selasa, 20 Ogos 2013

Bentuk fizikal Rasulullah S.A.W



Anas bin Malik r.a. atau Abu Nadhr Anas bin Malik al Anshari al Bukhari al Khazraji adalah sahabat yang paling akhir meninggal dunia di Basrah, iaitu pada tahun 71 H. Beliau telah tinggal bersama Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dan membantu Baginda selama 10 tahun. Selama itu juga Anas bin Malik r.a. dapat melihat lebih dekat dan beliau menyatakan bahawa segala yang ada pada diri Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, semuanya istimewa. Termasuk bentuk tubuh Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam..

“Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bukanlah orang yang berperawakan terlalu tinggi, namun tidak juga rendah. Kulitnya tidak putih melepak juga tidak sawo matang. Rambutnya ikal, tidak kerinting dan tidak juga lurus kaku. Baginda diangkat (menjadi rasul) Allah SWT dalam usia 40 tahun. Baginda tinggal di Makkah (sebagai Rasul) 10 tahun dan di Madinah 10 tahun. Baginda pulang ke Rahmatullah dalam usia 63 tahun. Pada kepala dan janggutnya tidak terdapat sampai 20 helai rambut yang telah berwarna putih.” (Diriwayatkan oleh Abu Raja Qutaibah bin Sa’id, dari Malik bin Anas, dari Rabi’ah bin Abi` Abdurrahman yang bersumber dari Anas bin Malik r.a.)

“Aku tak pernah lihat orang yang berambut panjang terurus rapi dengan mengenakan pakaian merah yang lebih tampan dari Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. Rambutnya mencapai kedua bahunya. Kedua bahunya bidang. Baginda bukanlah seorang yang berperawakan (bertubuh) rendah dan tidak juga terlampau tinggi.” (diriwayatkan oleh Mahmud bin Ghailan, dari Waki’, dari Sufyan, Dari Abi Ishaq, yang bersumber dari al Bara bin Azib r.a.)

“Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam tidak berperawakan (bertubuh) terlalu tinggi dan tidak juga terlalu rendah. Baginda berperawakan sederhana di antara kaumnya. Rambut tidak keriting bergulung dan tidak pula lurus kaku, melainkan ikal bergelombang. Badannya tidak gemuk, dagunya tidak tirus dan wajahnya agak bundar. Kulitnya putih kemerah-merahan. Matanya hitam pekat dan bulu matanya lentik. Bahunya bidang. Baginda memiliki bulu lebat yang memanjang dari dada sampai ke pusat. Tapak tangan dan kakinya terasa tebal. Bila Baginda berjalan, berjalan dengan tegap seakan akan Baginda turun ke tempat yang rendah.

“Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam mempunyai gigi seri yang renggang. Apabila Baginda bertutur kelihatan seperti ada cahaya yang memancar keluar antara kedua-dua gigi serinya itu.” (Diriwayatkan oleh Abdullah bin Abdurrahman, dari Ibrahim bin Mundzir al Hizami, dari Abdul Aziz bin Tsabit az Zuhri, dari Ismail bin Ibrahim, dari Musa bin Uqbah, dari Kuraib yang bersumber dari Ibnu Abbas r.a.)


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Assalamualaikum.. sila tiggalkan komen anda ye.. :)